Thursday, May 29, 2008

ADAB SESAMA MANUSIA (Pt.2)

Saya sambung lagi nasihat hukama' berkenaan adab sopan apabila kita bermu'amalah sesama manusia.

  1. Jika perlu kita memberi amaran kepada seseorang, lakukan sebaiknya jangan sampai menakutkan. Hindarkan sikap keras hati terhadapnya mahupun bertegang leher kerana banyak keburukan berbanding kebaikan apabila kita bersikap keras. Sebaliknya jika perlu bersikap lemah lembut dan mengalah, jangan menunjukkan sifat lemah kita. Tegas jangan keras, lembut jangan lemah!
  2. Jika berdebat, bersopanlah. Jangan sampai dianggap bodoh oleh orang lain terutama pihak lawan. Jauhi sikap terburu-buru, berfikirlah masak-masak dalam berhujah. Jangan menggunakan isyarat tangan atau menoleh-noleh ke belakang. Jika sedang marah, diamkan dahulu. Apabila reda kemarahan, luahkan isi hati dengan baik.
  3. Jangan jadikan harta lebih mulia daripada kehormatan diri
  4. Jika memasuki majlis atau menghadiri pertemuan mahupun persidangan, ucapkan salam kepada yang telah hadir lebih awal. Jangan sekali-kali memintas orang yang datang lebih awal. Duduk di tempat kosong atau di tempat yang telah disediakan untuk kita. Hendaklah merendah diri. Berjabat tanganlah dengan orang yang berhampiran setelah melafazkan salam
  5. Jauhi melepak dan bersembang di tepi jalan. Jika terpaksa, pastikan kita menunaikan hak-hak di jalanan seperti menjaga pandangan, menolong orang yang dianiaya, membantu orang yang kesusahan, lemah dan miskin, menunjukkan jalan kepada yang tersesat, menjawab salam, memberi kepada yang meminta, mengajak ke arah kebaikan, mencegah kemungkaran, tidak meludah di merata-rata atau ke arah kiblat.
  6. Jangan suka bergurau senda baik dengan orang yang bijak mahupun orang yang kurang akalnya. Berlebihan dalanm bergurau senda akan menyebabkan orang yang bijak akan kurang senang dan menganggap kita kurang sopan. Orang yang kurang akal pula akan menjadi berani dan melampau batas terhadap kita.
  7. Apabila banyak bergurau senda dalam sesuatu majlis, hendaklah berzikir kepada Allah sebelum meninggalkan majlis tersebut. Hadis Riwayat al-Tirmidhi: "Sesiapa yang banyak bergurau senda dalam sesuatu majlis, hendaklah dia sebelum berdiri untuk beredar, mengucapkan Subhanaka'lLahumma wa bi hamdika Ashadu an la ilaha illa Anta astaghfiruka wa atubu ilayka (Maha Suci Engkau Ya Allah dan puji-pujian untukMu. Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkanMu. Saya mohon keampunan dan bertaubat kepadaMu). Nescaya akan diampunkan segala kesalahannya sepanjang dalam majlis tadi.
Al-Ghazali, Ihya' 'Ulum al-Din

Wednesday, May 28, 2008

ADAB SESAMA MANUSIA

Seorang hukama' berkata: " Jikalau kamu ingin bergaul secara baik dan sopan maka ikutilah panduan-panduan ini":
  1. Mempamerkan wajah yang gembira, sopan dan tenang di hadapan kawan atau musuh. Jangan menunjukkan keangkuhan dan kesombongan. Rendah diri bukan bermakna kurang harga diri. Bersederhanalah, kerana sesuatu yang ekstrim itu adalah tidak baik.
  2. Jangan kerap menoleh ke kiri dan ke kanan. Jangan banyak menoleh ke mana-mana. Jangan memandang tajam orang lain. Jangan duduk seperti orang yang tidak tenang seolah-olah hendak melompat
  3. Jangan silangkan jari di celah jari tangan yang lain. Jangan bermain-main dengan misai, janggut ataupun cincin. Jangan sesekali mencungkil celah-celah giri, mengorek hidung, meludah atau membuang hingus, mengeliat dan menguap.
  4. Duduk dalam keadaan tenang, bertutur secara teratur dan tertib. Dengarlah dengan teliti percakapan orang di hadapanmu, tanpa menunjukkan kehairanan. Jangan dibiasakan meminta orang mengulangi percakapannya. Jika ada perkara-perkara melucukan, diamlah seboleh mungkin.
  5. Jangan sekali-kali berbangga dalam percakapan mengenai diri sendiri, anak-anak, karya-karya atau apa sahaja yang menjadi keistimewaan diri dan keluarga
  6. Jangan lakukan sepertimana kebiasaan wanita di waktu berhias. Jangan menyerah dan bersikap bodoh seperti hamba. Jangan terlampau mengharap dan meminta sesuatu yang diperlukan. Jangan mendorong orang lain melakukan penganiayaan.
  7. Jangan memberitahu jumlah wang simpanan atau harta walaupun kepada anak-anak atau ahli keluarga yang lain. Sementelah kalau bukan dari kalangan keluarga. Orang akan menghina sekiranya mengetahui harta kita sedikit dan sebaliknya tidak senang hati sekiranya kita banyak harta.