Menanti Di Barzakh
Album : Halawatul Iman
Munsyid : Far East
http://liriknasyid.com
Ku Merintih, Aku Menangis,
Ku Meratap, Aku Mengharap,
Ku Meminta Dihidupkan Semula,
Agar Dapat Kembali Ke Dunia Nyata,
Perjalanan Rohku,
Melengkapi Sebuah Kembara,
Singgah Di Rahim Bonda,
Sebelum Menjejak Ke Dunia,
Menanti Di Barzakh,
Sebelum Berangkat Ke Mahsyar,
Diperhitung Amalan,
Penentu Syurga Atau Sebaliknya,
Tanah Yang Basah Berwarna Merah,
Semerah Mawar Dan Jugak Rindu,
7 Langkah Pun Baru Berlalu,
Susai Talkin Penanda Syahdu,
Tenang Dan Damai Di Pusaraku,
Nisan Batu Menjadi Tugu,
Namun Tak Siapa Pun Tahu Resah Penantianku,
Terbangkitnya Aku Dari Sebuah Kematian,
Seakan Ku Dengari,
Tangis Mereka Yang Ku Tinggalkan,
Kehidupan Disini Bukan Suatu Khayalan x2
Tetapi Ia Sebenar Kejadian x2
Kembali Oh Kembli,
Kembalilah Kedalam Diri,
Sendirian Sendiri,
Sendiri Bertemankan Sepi,
Hanya Kain Putih Yang Membaluti Tubuhku,
Terbujur Dan Kaku,
Jasad Terbujur Didalam Keranda Kayu,
Ajal Yang Datang Dibuka Pintu ,
Tiada Siapa Yang Memberi Tahu,
Tiada Siapa Pun Dapat Hindari,
Tiada Siapa Yang Terkecuali,
Lemah Jemari Nafas Terhenti,
Tidak Tergambar Sakitnya Mati,
Cukup sekali Jasadku Untuk Mengulangi,
Jantung Berdenyut Kencang,
Menantikan Malaikat Datang,
Mengigil Ketakutan Gelap Pekat Dipandangan,
Selama Ini Diceritakan x2
Kini Aku Merasakan x2
Dialam Barzakh Jasad Dikebumikan x2
Ku Merintih, Aku Menangis,
Ku Meratap, Aku Mengharap,
Ku Meminta Dihidupkan Semula,
Agar Dapat Kembali Ke Dunia Nyata,
Ini adalah lirik nasyid yang melatari multiply saya. Kalau dihayati memang menginsafkan. Sementelah kalau kita memerhati dan merefleksi diri dan orang-orang di sekitar kita. Bayi yang baru lahir, orang muda, orang tua, orang sakit, orang sihat dan tak lupa kita sendiri. Ajal adalah sesuatu yang pasti. Itu sunnah untuk makhluq yang bernyawa. Bila, bagaimana, di mana - kesemuanya menjadi rahsia Allah.
Sewaktu kecil, ada 2 perkara yang menakutkan saya: hantu dan hal-hal yang berkait dengan orang mati. Mungkin sebab selalu disantap dengan cerita-cerita seram. Kalau Almarhumah Ma bercerita tentang kisah Nabi-nabi, tentang syurga tentang neraka, Almarhum ayah pula selalu meluangkan masa untuk bercerita pelbagai cerita dari kisah Pak Pandir, legenda, mitos dan yang paling melekat di kepala, cerita-cerita hantu...Walaupun takut, tapi saat itu adalah masa yang selalu dinanti-nanti kerana Almarhum memang pandai bercerita, pandai mengubah intonasi suara siap dengan gaya hingga kami anak-anak terjerit-jerit. Tapi makin takut, makin nak dengar...
Ketakutan saya kepada yang berkaitan dengan kematian semakin hilang sedikit demi sedikit apabila berlaku kematian dalam keluarga sendiri. Dalam usia 38 tahun, pada malam Jumaat 15 November, almarhum ayah pulang ke rahmatullah. Waktu itu saya baru berusia 13 tahun, adik no 2 - 12 tahun, no 3 - 9 tahun, no 4 - 7 tahun, no 5 - 5 tahun, no 6 -2 tahun dan yang bongsu baru berusia 2 hari. Sepertinya Allah mengajar saya secara langsung tentang konsep kematian. Sebulan sebelum itu, ma ditahan di wad kerana ada masalah dengan kandungan. Dua hari sebelum ayah dijemput pergi, ma perlu menjalani pembedahan. Siapa sangka, di saat-saat saya terlalu risau kalau-kalau Allah mengambil nyawa ma, di saat-saat saya tidak putus-putus berdoa supaya Allah panjangkan umur Ma, tiba-tiba dua hari selepas itu ayah yang sebelum ni sihat walafiat pergi meninggalkan kami.Allahmummaghfir lahu wa'afihi wa'fu 'anhu wa adkhilhu al-jannah. Pemergian almarhum ayah buat saya tersentak - belum tentu yang sakit akan pergi dulu, dan belum tentu yang tua akan meninggalkan yang muda...
Tahun lepas Ma pula menyusul almarhum ayah...Itupun dalam keadaan kami tidak menjangka kerana ma tidak sakit terlantar...Memang Ma agak lemah, tapi kami tak menyangka Ma akan pergi buat selama-lamanya...Saya pulang ke kampung kerana kebetulan awal Ramadan adalah cuti umum di negeri saya bertugas. Dan menyambut Ramadan di kampung seperti wajib yang tidak tertulis untuk kami anak-anak...Hasrat adik-adik menghantar Ma ke klinik untuk tambah air, bertukar menjadi serius apabila tiba-tiba kesihatan ma tiba-tiba merosot sewaktu di emergency room.. Dari yellow zone, ma dipindahkan ke red zone dan kemudiannya pada pukul 4 pagi dipindahkan ke wad. Tapi kemudiannya ma ok. Tapi selepas Subuh, kondisi ma berubah...Adik-adik suruh saya terus ke hospital kerana ma nampak lain.. Saya yang sampai pagi tu, masih lagi kat dapur rebus air barli untuk bagi ma minum..Terus saya padamkan api dapur dan bergegas ke hospital. Ya Allah, sembuhkanlah ma...Panjangkan umur ma.. Sebaik sampai di katil ma, terus saya cium ma berkali-kali dan bacakan ayat-ayat suci. Doktor-doktor kelihatan kalut. Ada seorang doktor yang cakap, 'tak tahulah, mungkin 30 minit, mungkin 3 minit, mungkin 3 saat dia akan pergi...' Terasa nak marah sangat apabila doktor cakap macam tu.. Kemudiannya doktor minta izin untuk pasang ventilator. Sebagai wakil keluarga, saya izinkan dan saya tandatangan dokumen tidak membenarkan doktor buat lebih daripada itu... Kalau memang dah sampai masa ma, saya nak ma pergi dengan senang tanpa kesakitan berlebihan pada jasadnya...Siapa kita, untuk melawan kematian... Alhamdulillah, kemudiannya apabila sentuh, kaki ma yang tadinya sejuk, panas kembali.. Saya dan adik-adik tidak putus-putus membacakan Surah Yasin dan manzil untuk ma... Sambil membaca, sambil saya kucup dahi ma berkali-kali...Ya Allah berikan ana kekuatan... Ma kemudiannya dipindahkan ke tingkat 8. Tapi keadaan ma tidak berubah. Blood pressure ma tetap rendah. Tengahari, bp ma naik normal...Ma terjaga... Alhamdulillah. Tapi kata doktor, ventilator sepatutnya dipasang dalam keadaan pesakit tidak sedarkan diri. Doktor tambah 1 lagi dos morfin. Ma kembali tertidur dan bp kembali turun.. Keadaan ma mengingatkan saya kepada Almarhumah Tok Wan (nenek sebelah ma) sewaktu hampir saat kematiannya. Saya redha. Namun hati kecil saya masih terus berharap moga Allah panjangkan umur Ma. Supaya ma segera sembuh dan kembali bersama kami.. Saya masih mengharapkan ada miracle..
Selepas Maghrib, doktor beritahu " we are going to lose her tonight or tomorrow.." Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada ana..Semoga ma pergi dalam husnul khatimah..Saya redha.. Terus saya telefon semua yang kat rumah supaya segera kembali ke hospital. Saya minta Nizam solat hajat untuk ma. Saya minta Nadzim talqinkan La Ilaha illa'lLah di telinga ma. Dan saya teruskan bacaan Yasin untuk ma, sambil tak henti-henti mengucup tangan ma berkali-kali...Tepat jam 955 malam, pada malam Jumaat, selepas sehari puasa Ramadan, bersamaan 13 September 2007, ma menghembuskan nafas terakhirnya.. Ma pergi meninggalkan kami.. Hanya doa kami, mengiringi ma, semoga bahagia di sana...Allahmumma 'ghfirlaha wa'rhamha wa'afiha wa'fu 'anha wa adkhilha al-jannah.
Pemergian ma buat saya berfikir lagi tentang kematian. Kematian bukannya perkara yang kita boleh tentukan. Walaupun tanda-tanda hampir kematian telah ditunjukkan, tapi kita hanya menyedarinya setelah kematian menjemput...Ibrahnya, untuk menghadapi kematian, kita perlu bersedia. Bersiap sepanjang masa kerana BILA itu menjadi rahsia Allah.
Sewaktu menziarahi kawan-kawan nenek pada Eid yang lepas, kotak fikir saya ligat lagi berputar.. Bagaimana dengan nasib saya? Jangan sedap hati, belum tentu yang tua pergi dulu.. Belum tentu yang sakit pergi dulu.. Bila perhatikan nenek yang dah hampir mencecah 90 tahun, buat saya insaf...Rakan-rakan seangkatan nenek dah tiada. Almarhum ayah (anak bongsu nenek) dah lama pergi.. Almarhumah ma juga telah pergi... Bak kata nenek, pengakhiran ma dah elok sangat-sangat. Allah jemput ma dalam keadaan yang baik, pada hari yang dijanjikan terlepas dari azab kubur, pada bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan, disolatkan oleh ramai jemaah... Nasib kita, nenek cakap, belum tau lagi... Bila nenek cakap macam tu, hati saya berefleksi lagi membanding diri dengan nenek... Siapa yang dulu siapa yang kemudian belum tahu... Mudanya saya bukannya jaminan saya kemudian.. Nenek, setiap detik waktunya, mulut dibasahi zikir... Qul Huwa'lLah aje time dia sibuk risaukan si cicit hari tu, cuma sempat baca 200 kali. Maknanya kalau time biasa dia boleh baca lebih daripada itu. Kalau 1 kali surah al-Ikhlas menyamai 1/4 pahala membaca keseluruhan al-Quran, berapa banyak pahala yang nenek dah kumpulkan... Kalau 100 kali baca surah al-Ikhlas, Nabi s.a.w. kata akan dibina 1 istana di syurga, berapa ratus istana dah tersedia untuk nenek.. Itu belum bacaan-bacaan zikir lain yang menjadi basahan hati dan bibirnya... Alangkah bestnya, kalau dapat minta syafaat nenek, boleh tak kalau nenek berikan saya kepada saya... Satu istana pun jadilah.. Alahai masa sendiri banyak terhabis dengan perkara lagha, ingat senang-senang ke nak reserve syurga... Tak dapat syurga, terlepas daripada 'azab pun dah cukup baik... Allahmumma ahsin 'aqibatana fi'l umur kulliha, wa ajirna min khizy al-dunya wa 'adhab al-akhirah ( Ya Allah, perelokkan kesudahan kesemua urusan kami, dan hindarkanlah kami dari kehinaan dunia dan 'azab akhirat).
Kalau saya seperti Almarhum ayah, cuma ada masa lebih kurang 2 tahun lagi sisa umur saya... Kalau ikut ma, setahun selepas usia pencen wajib, saya akan pergi...Sempat merasa sekejap je duit pencen.. Kalau lebih awal daripada Almarhum ayah, apakah persediaan diri sendiri yang telah saya siapkan? Macam jauh dari cukup... Macam baru 10%. Kalau kurang dari 10%, macam mana.. Apakah amal jariah yang akan jadi penyambung amalan saya di alam barzakh? Siapa yang akan doakan untuk saya? Adakah ilmu yang saya ajarkan untuk pelajar-pelajar saya selama ini dimanfaatkan mereka? Berapa banyak je penulisan saya.. Ada ke orang baca dan manfaatkan? Berapa lama je orang-orang yang saya tinggalkan dan sayang kat saya akan ingat saya dalam doa mereka? Berapa kerat je orang yang sayang saya? Saya tidak ada harta untuk diwariskan kepada mereka. Duit kat Tabung Haji, kalau saya mati sebelum sempat menunaikan haji, untuk buat upah haji. Simpanan yang ada, guna untuk melangsaikan bil-bil telefon dan internet. Kalau ada lebih, buatlah khairat untuk saya. Kalaupun ada sedikit harta, cuma beberapa rak kitab-kitab dan buku-buku untuk dimanfaatkan...Nanti tolonglah baca buku-buku tu, mudah-mudahan dapat juga sedikit pahala untuk saya... Ya Allah, sikitnya bekal yang saya ada... Bagaimana pula dengan dosa-dosa saya pada Allah? Masih adakah yang belum terampun? Bagaimana dengan silap saya sesama manusia? Sempatke saya mohon maaf?
Ya Allah... Kalau boleh undur kematian, saya tak nak mati dulu... Panjangkan usia ana dalam beribadat kepadaMu... Ampunilah segala dosa-dosa saya, yang besar dan yang kecil, yang terzahir dan yang tidak terzahir...Berikanlah peluang untuk ana menambah amal dan bekal untuk hidup yang abadi... Semoga kehidupan saya tidak terhabis sia-sia...
Kesimpulannya, saya tak boleh harapkan orang lain untuk sediakan bekal mati saya. Saya kena siap sediakan diri sendiri... Masih ada banyak masa ke? Allahumma 'khtim lana fi husn'l khatimah wa la takhtim 'alayna fi suu' al-khatimah. Rabbana atina fi'l-dunya hasanah wa fi'l-akhirah hasanah wa qina 'adhab al-nar