Sunday, April 13, 2008

SUNGGUH ENGKAU MAHA PEMURAH YA RABB


Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla berfirman kepada ahli syurga: Wahai ahli syurga! Lantas mereka menjawab: Labbayk Rabbana wa sa‘iduka wa al-khayr fi yadayk. Allah berfirman lagi: Adakah kamu berpuas hati? Lalu mereka menjawab: Bagaimanakah untuk kami tidak merasa puas hati ya Rabbana, sedangkan Engkau telah menganugerahkan kepada kami sesuatu yang tidak pernah diberi oleh seorang pun makhlukMu? Allah berfirman lagi: Bagaimana sekiranya Aku mengurniakan kepada kamu sesuatu yang lebih baik dari itu? Mereka bertanya: Apakah lagi yang lebih baik dari itu? Allah berfirman: Aku halalkan untuk kamu keredaanKu sehingga Aku selepas ini tidak akan murka lagi kepada kamu selama-lamanya.

(Hadith Mutaffaq ‘alayh)

Hadith yang saya baca seusai membaca Surah al-Hijr membuatkan perasaan saya berbaur dengan keinsafan tentang sifat Allah yang Maha Pemurah dan Maha Kaya. Betapa layanan yang diberikan untuk hamba-hambaNya yang layak menjadi penghuni syurgaNya sungguh istimewa. Bayangkan betapa bahagianya menjadi penghuni syurga… Keberadaan mereka di syurga disambut sendiri oleh Allah dengan seruan Wahai Ahli Syurga. Bukan itu sahaja, Allah malah bertanya kepada hamba-hambaNya yang lulus ujianNya sewaktu di dunia, sama ada mereka berasa puas hati dan senang dengan apa yang telah mereka perolehi sebagaimana yang telah dijanjikan sebagai ganjaran kepatuhan dan ketaqwaan mereka kepadaNya. Dan sungguh penghuni syurga bukanlah manusia-manusia tamak dan tidak tahu bersyukur. Malah jawapan mereka cukup beradab dan kata-kata mereka diatur tertib. Apakah lagi yang diinginkan kalau mereka telah memperolehi sesuatu yang tidak pernah tergambar di fikiran mereka, yang tidak pernah diberikan oleh yang lain selain Allah. Namun Allah yang Pemurah masih menawarkan sesuatu yang lebih baik dan lebih hebat sebagai ganjaran untuk mereka. Ya Allah, sungguh kami hamba-hambaMu ini amat kerdil di sisiMu yang Maha Kaya dan Maha Memiliki segalanya... Tidak tergambar di fikiran penghuni syurga tentang adanya sesuatu yang lebih baik daripada apa yang telah dianugerahkan kepada mereka. Dan sungguh apa yang Allah tawarkan amat-amat ternilai melebihi segalanya... Apa lagi yang sangat diingin dan diharapkan oleh seorang hamba kalau bukan keredaan Allah. Bukan sekadar keredaan tetapi dihalalkan keredaanNya dengan janji bahawa mereka tidak akan menerima murka Allah selama-lamaNya. Ya Allah, dengan limpahan rahmatMu, jadikanlah diriku, ibu bapaku, datuk nenekku, adik-adikku, keluargaku, guru-guruku, sahabat-sahabatku, dan semua orang yang kusayangi serta seluruh orang beriman sebagai penghuni syurgaMu ya Allah...

2 comments:

Adam said...

Assalammualaikum..

Blog anda hebat.

hijaupurnama said...

wa'alaikumussalam
Terima kasih. Tak hebatpun, sekadar mencurah apa yang di hati dan apa yang di kepala