Tetapi bila kalbu dicuci, menagih redha Allah saja Akal diasah selalu, dipimpin pula muaddib mulia Fikiran kan terbuka, yang terkusut terlerai jua Diri mendaki tinggi mencapai Makna, jelas perkara Anugerah Allah ke dalam jiwa gigih berusaha (Prof Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, Mutiara Taman Abadi)
Tuesday, September 23, 2008
UJIAN MEMBAWA KITA HAMPIR KEPADANYA
Seringkali kita mengeluh apabila ditimpa ujian. Sementelah kalau ditimpa ujian maha hebat. Sebenarnya ujian adalah lumrah kehidupan kerana melaluinya Allah menguji siapakah yang paling baik amalan di kalangan hambaNya. Allah memberikan ujian untuk kemudiannya diberi ganjaran buat bekal kita juga di dunia sana...Allah tidak memberi ujian dan meninggalkan hamba-hambaNya. Sebaliknya Dia memberi kita ruang untuk merayu, mengharap dan memohon bantuanNya... Pada saat ini, hamba-hambaNya akan hampir denganNya, tulus mengharap kerana tiada pergantungan lain selain kepadaNya..
Thursday, September 04, 2008
MUNAJAT SESAL SEORANG HAMBA
21 April 2003
Tuhan
bila hambaMu meminta
tanpa sangka
segera Kau kabulkan
saat itu syukur melimpah
pun sementara cuma
bila lalai dan alpa menjengah
hambaMu persenda kurniaanMu
seakan tida reda dengan pilihanMu
bersifat cerewet dan celupar
Tuhan
kini hambaMu tersentak
malu dengan kebiadaban diri
syukur rupanya tidak bersyukur
insaf menyelubungi
kesempurnaan hanya milik Yang Maha Sempurna
Yang diminta dulu
itulah yang diberi
tapi hambaMu bersifat tamak
membilang-bilang kekurangan
Tuhan
kini hambaMu sedar
kurniakan peluang kedua
moga insaf ini
menjadikan diri benar-benar bersyukur
HIJAUPURNAMA
ISTIGHFAR
Istighfar bukanlah sekadar wirid. Perlu kita ambil iktibar daripada istighfar para Nabi.
La ilaha illa Anta, subhanaka inni kuntu min'l-zalimin
Rabbana zalamna anfusana wa in lam taghfirlana wa tarhamna lanakunanna min'l-khasirin
Rayuan pohon keampunan kepada Allah perlu kepada ketulusan dan penghayatan:
- Ya Allah ( sekali hamba menyeru nama Allah, 70 kali Allah bertanya tentang keperluan hambaNya)
- HambaMu ini banyak dosa ya Allah
- Engkau Maha Pengampun ya Allah, Engkau Maha Penyayang ya Allah, Engkau Maha Pengasih ya Allah
- Ampuni segala dosa hambaMu ini ya Allah
- Astaghfirullah al-Azim
Usahakan untuk melazimkan diri dengan solat tawbah dan solat hajat setiap malam, kerana ukuran kejayaan manusia ialah apabila dapat melaksanakan agama dalam hidup. Ibarat ikan, berjayanya seekor ikan bila ia ikut fitrah kejadiannya yangmesti hidup dalam air. Kalau keluar daripada air makan ikan akan gagal untuk hidup.
Istighfar seorang hamba umpama kita melalui batas sawah yang licin. Setiap kali tergelincir jatuh, kita perlu berusaha untuk naik balik ke atas batas sehingga berjaya sampai ke destinasi yang nak dituju. Jangan pula apabila terjatuh, kita berenang pula dalam lumpur dan terleka dengan keseronokan dapat menangkap ikan.
DEMI MASA
Terkenang Surah al-'Asr yang pada saya, ianya adalah peringatan penting tentang sifat dan naluri manusia yang mewarisi sifat pelupa semenjak di alam rahim. Manusia yang sentiada berada dalam kerugian, justeru tidak kembali kepada fitrah yang pernah bersaksi tentang ketuhanan Allah sewaktu di alam ruh. Manusia sentiasa terlupa bahawa setiap minit masa yang berdetik adalah modalnya dalam ehidupan. Bukan untuk diucap SELAMAT HARI LAHIR tetapi AWAS, MASAMU KIAN SINGKAT!
Lupa dan alpanya manusia telah banyak melalaikan manusia tentang tugas dan tanggungjawab yang dipikul. Tentang ujian untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya. Ianya peringatan bahawa kasih sayang Allah itu melimpah ruah. Tidak banyak yang diminta daripada manusia -cuma perlu beriman dan beramal saleh. Namun perlu juga memikirkan tentang orang lain di sekeliling kita - justeru adanya tanggungjawab berpesan-pesan tentang kebenaran dan kesabaran. Sungguh, tanpa sabar mana mungkin manusia lulus ujian Tuhan. Acapnya, gagal dalam limpahan nikmat. Lupa tentang kebahagiaan abadi di akhirat.
AHLAN YA RAMADAN

Ramadan datang lagi...Syukur kerana kita masih dipanjangkan usia dan kekuatan, berpeluang untuk merebut tawaran-tawaran istimewa sepanjang Ramadan. Tawaran yang sangat-sangat menarik, jauh lebih hebat dari discount dan offer di pusat membeli belah sempena raya. Rugi jika tidak mengambil peluang yang dikurniakan Allah untuk hamba-hambaNya.
- Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan keimanan dan muhasabah diri, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya
- Lailatul Qadr adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan. 1000 bulan bukannya sekejap. Ia menyamai 83.3 tahun. Lama tu... Belum tentu kita dapat hidup selama itu. Lihatlah, betapa Allah maha pengasih. Masih memberi ruang dan luang untuk hamba-hambaNya menebus masa yang terbuang dengan sia-sia. Memberi kesempatan untuk menampung kelemahan pada diri.
- Ramadan adalah bulan yang awalnya keampunan, pertengahannya rahmat dan akhirnya pembebasan dari neraka. Betapa pemurahnya Allah, tawaran-tawaran istimewanya berupa perkara-perkara yang tidak ternilai dengan ringgit dan material dunia. Kesemuanya tidak dapat dibeli tapi amat diperlukan oleh kita hamba-hambaNya.
- Kedudukan eksklusif untuk hamba-hambaNya yang berpuasa sehinggakan untuk memasuki syurgaNya juga, disediakan pintu khas yang dinamakan RAYYAN. Kalau di dunia, penumpang kelas pertama ataupun bussiness akan diberi layanan istimewa, di akhirat nanti, hamba-hambaNya yang berpuasa layak menerima layanan istimewa yang disediakan hatta laluan ke syurga juga ada laluan khas.
- Puasa akan menjadi syafaat untuk hamba-hambaNya di akhirat kelak. Puasa akan memohon sendiri hak syafaatnya daripada Allah kerana menerusinya hamba-hamba Allah menahan diri dari makan dan melayan shahwah di siang hari. Kalau baca Quran di malam hari, pun Quran akan memohon syafaat juga kerana menerusinya hamba-hamba Allah bersengkang mata di malam hari. Maha pemurahnya Allah, permohonan ini akan diluluskan istimewa untuk hamba-hambaNya.
- Bulan Ramadan adalah bulan yang dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu. Hamba-hambaNya yang rajin beramal akan bergembira dan hamba-hambaNya yang suka melakukan keburukan akan diseru supaya berhenti daripada melakukannya.
Subscribe to:
Posts (Atom)